JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas terlibat dalam nahas jalan raya membabitkan tiga kereta di Jalan Harimau Tarum berhampiran Plaza Pelangi di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, Mohd Rizal Buseri, 31, maut di tempat kejadian manakala Nur Fatin Nazrah, 23, dan Chang Ah May, 78, mengalami cedera ringan.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Nordatul Badrol Abd Rahman, pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan kemalangan tiga kereta berhampiran simpang empat lampu isyarat.
Katanya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin dengan kekuatan sembilan anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus laporan kecemasan diterima.
“Setiba di lokasi kejadian, pasukan keluaran operasi mendapati sebuah kereta yang dipandu salah seorang mangsa dalam keadaan terbalik dan dia tersepit di bahagian pemandu.
“Tindakan operasi mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas menyelamat hanya mengambil masa dua minit. Namun dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nordatul Badrol berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis manakala mangsa cedera diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN