Kluster Bah Lada, ibu bapa jangan panik - Utusan Malaysia

Kluster Bah Lada, ibu bapa jangan panik

RAZMAN ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ibu bapa kepada murid di sebuah sekolah di Perak Tengah diminta tidak panik berikutan berlaku kes positif Covid-19 melibatkan sepasang suami isteri yang anak mereka belajar di sekolah tersebut.

Difahamkan, sebahagian besar ibu bapa murid di sekolah itu enggan menghantar anak mereka ke sekolah sebaik sahaja mendapat tahu ibu bapa kepada salah seorang murid di sekolah itu positif Covid-19.

Jangkitan melibatkan seorang wanita dari kluster Bah Lada yang pulang dari Sabah manakala suaminya yang turut disahkan positif Covid-19, merupakan kontak rapat wanita berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Razman Zakaria berkata, pihaknya belum mendapat laporan mengenai tindakan ibu bapa yang enggan menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan ekoran jangkitan Covid-19 dalam komuniti.

Menurutnya, ibu bapa murid di sekolah itu dinasihatkan agar tidak panik dan menunggu arahan lanjut daripada pihak berkuasa.

“Ibu bapa yang berasa bimbang sehingga takut untuk menghantar anak mereka ke sekolah, itu hak mereka.

“Mereka boleh membuat surat memberitahu kepada pihak sekolah mengenainya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai satu kenyataan yang dikatakan dibuat oleh pihak sekolah yang tular dalam media sosial aplikasi Whatsapp mengenai ketidakhadiran murid berikutan berlaku jangkitan Covid-19 melibatkan ibu bapa murid di sekolah itu.

Berdasarkan kenyataan itu, pihak sekolah berkata, tiada keperluan untuk ibu bapa menyekat kehadiran anak mereka ke sekolah kerana sekolah berkenaan bukan positif Covid-19.

Kata kenyataan itu, pihak sekolah telah membuat sanitasi di kawasan sekolah walaupun menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiada keperluan untuk melakukan sanitasi besar-besaran ke kompaun sekolah.

Pihak sekolah turut berharap ibu bapa menghantar semula anak mereka ke sekolah kerana menyekat hak anak-anak untuk hadir ke sekolah tidak akan menyelesaikan apa-apa perkara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya