BUTTERWORTH: Situasi penularan wabak Covid-19 di negeri ini masih terkawal memandangkan kes positif yang dikesan setakat ini hanya melibatkan kumpulan banduan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ujian swab termasuk bagi pusingan kedua telah dijalankan terhadap semua petugas dan penghuni kedua-dua penjara iaitu Penjara Reman Pulau Pinang dan Kompleks Penjara Seberang Perai di Jawi.
Tambah beliau, ujian itu dilakukan bagi memastikan tidak wujud sebarang penularan kes baharu khususnya di peringkat komuniti.
“Petugas Jabatan Kesihatan negeri juga akan memaklumkan kepada kerajaan negeri jika ada sebarang bentuk bantuan yang diperlukan ketika menjalankan ujian-ujian tersebut dan sebagainya.
“Semalam pun (ketika sidang Dewan Undangan Negeri), kerajaan negeri telah luluskan peruntukan berjumlah lebih RM100,000 untuk kebajikan kakitangan penjara serta petugas keselamatan yang terlibat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Mengulas lanjut, kata Kon Yeow, ketika ini kerja-kerja sanitasi membabitkan kedua-dua penjara sedang giat dijalankan dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya 217 kes positif Covid-19 dengan satu kematian dilaporkan berlaku di Penjara Reman Pulau Pinang manakala kes positif yang direkodkan di Penjara Jawi pula adalah sebanyak 28 kes. – UTUSAN