ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah melakukan sanitasi awam di Penjara Pokok Sena dan dua sekolah di daerah itu ekoran jangkitan Covid-19 semalam dan hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, operasi sanitasi di penjara tersebut bermula pada pukul 5 petang semalam.
Menurutnya, operasi sanitasi itu membabitkan 11 anggota bomba meliputi blok rotan, blok batik, bilik gerakan dan makmal dengan keluasan 966.1917 meter persegi di penjara itu.
“Kerja-kerja sanitasi di penjara itu mengambil masa kira-kira 50 minit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara sanitasi di sekolah pula, katanya, melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pak Kiau dekat Pokok Sena hari ini.
“Sanitasi di SK Bukit Pak Kiau bermula pukul 9.15 pagi dan berakhir 9.45 pagi yang meliputi bilik darjah, tangga, tandas serta makmalnya.
Tambahnya, sanitasi di SMK Bukit Payong pula dilakukan pada pukul 10.15 pagi selama 25 minit yang meliputi bilik darjah, tangga dan tandas sekolah yang dilakukan tujuh anggota.
“Cecair yang digunakan dalam operasi ini adalah sodium hypoclorite untuk membasmi kuman,” katanya. – UTUSAN