KUALA NERUS: Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan anaknya maut selepas motosikal mereka dirempuh sebuah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Gong Badak berhampiran Taman Perumahan Mega di sini semalam
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa, Leftenan Maritim Md. Firdaus Omar, 35, dan anak sulungnya, Mohamad Lutfi Al-Hadi, 8, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialami.
Mangsa yang bertugas di Pejabat Maritim Malaysia Terengganu difahamkan menunggang motosikal untuk menghantar anaknya ke kelas mengaji yang terletak berdekatan rumah mereka di Gong Badak.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Abd. Razak Hasan berkata, ketika di lokasi kejadian motosikal Honda Vario dinaiki dua beranak itu dirempuh sebuah Proton Preve ketika keluar dari persimpangan lampu isyarat berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu kedua-dua mangsa tercampak sejauh beberapa meter,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abd. Razak berkata, mayat Md. Firdaus dan anaknya, Muhammad Lutfil Al-Hadi dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Katanya, pemandu kereta Proton Preve berusia 38 tahun yang cedera ringan turut dirawat di unit kecemasan hospital sama. – UTUSAN