KUANTAN: Suasana di sebuah bank di sini kecoh apabila kereta jenis Honda City secara tiba-tiba merempuh dinding kaca premis tersebut hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi di Jalan Tun Ismail itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan orang awam termasuk pemandunya yang merupakan wanita berusia 53 tahun.
Ekoran kejadian itu, beberapa keping gambar mula tular dalam Facebook sejak pagi ini dan menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pengguna laman sosial berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian itu berpunca daripada kecuaian pemandu yang terpijak pedal minyak secara tidak sengaja.
“Wanita itu adalah kakitangan bank terbabit. Dia hadir untuk menghadiri mesyuarat di bank itu.
“Apabila sampai di tempat kejadian, wanita berkenaan tertekan pedal minyak sehingga menyebabkan kereta itu bergerak dan merempuh dinding kaca,” katanya di sini hari ini.
Ujar Mohamad Noor Yusof, wanita itu bersama pengurus bank telah membuat laporan di Balai Trafik Daerah sejurus selepas kejadian. – UTUSAN