MARANG: Seorang juruteknik di syarikat minyak dan gas, Petronas maut selepas merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membuat pusingan U di Kilometer 29.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Pulau Kerengga di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Hariz Moksin, 30, dari Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir di Kuala Nerus meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Kemalangan dikatakan berlaku apabila kereta pacuan empat roda jenis Hilux yang dipandu seorang guru berusia 54 tahun dari kaki lima jalan membuat pusingan U setibanya di lokasi kejadian untuk ke kedai makan di sebelah kanan.
Dalam masa sama, muncul mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125ZR dari arah belakang lalu melanggar bahagian sisi kanan kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, akibat pelanggaran itu, Muhammad Hariz mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan dialami pemandu pacuan empat roda itu,” katanya di sini semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN