JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas sebelum melanggar sebatang pokok dan jejantas di Taman Kota Masai, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku pada pukul 5.30 petang.
“Mangsa yang dalam perjalanan dari Kota Masai menuju ke Taman Scientex hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar sebatang pokok dan jejantas.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang tersepit mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, polis bagaimanapun masih menyiasat sama ada kemalangan itu turut membabitkan kenderaan lain atau tidak.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN