Nahas maut di Mambau: Pemandu kereta direman tiga hari - Utusan Malaysia

Nahas maut di Mambau: Pemandu kereta direman tiga hari

LOKASI kemalangan yang mengorbankan tiga nyawa dalam kejadian yang berlaku awal pagi, Sabtu lalu di Jalan Mambau-Port Dickson, berhadapan Surau Al-Muqqarabin, Kampung Mambau, Seremban. - FOTO/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Suspek lelaki berusia 27 tahun direman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan membabitkan kemalangan maut sehingga mengorbankan tiga nyawa di Jalan Mambau-Port Dickson berhadapan Surau Al-Muqarrabin, Kampung Mambau, awal pagi, Sabtu lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Seremban, Mas Azmimin Ahmad ke atas suspek bagi polis melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, bapa suspek yang berusia 61 tahun hanya diambil keterangan.

MOHD. SAID IBRAHIM

“Tangkapan tidak dibuat terhadap bapa suspek namun, kita buka kertas siasatan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan terhadapnya dan akan mendapatkan perintah penyiasatan (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, tiga mangsa yang maut ialah pejalan kaki, Noraniza Mohamed Amin, 42, serta sepasang suami isteri yang menaiki motosikal iaitu penunggang, K. Thamotharan, 44, dan pembonceng, S. Ramadevi S, 38.

Nahas berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Myvi serta motosikal jenis Demak.

Berdasarkan siasatan awal yang berasaskan pengakuan, bapa suspek mengaku telah memandu kenderaan jenis Produa Myvi berkenaan.

Bagaimanapun Mohd. Said berkata, berdasarkan siasatan lanjut yang dijalankan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, pemandu kereta berkenaan bukanlah kelihatan seperti lelaki berusia 61 tahun.

“Susulan itu, pada hari yang sama juga (Sabtu) anak suspek berusia 27 tahun ditahan polis selepas bapa suspek mengaku bahawa anaknya yang memandu kereta berkenaan dalam kejadian itu dan bukannya dirinya seperti mana rakaman percakapan dan pengakuan awal yang dibuatnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN