PADANG TERAP: Seorang lelaki warga Thailand yang hilang lebih sembilan jam di kawasan ladang getah di Jalan Sungai Malai, Kampung Charok Malau di sini ditemui selamat malam tadi.
Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditemui dalam keadaan sedar dan lemah kira-kira pukul 12.45 tengah malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 9.30 malam oleh keluarga angkat mangsa.
“Maklumat awal yang diterima mengatakan mangsa keluar dari rumah ke ladang getah kira-kira pukul 3 petang dan tidak pulang sebelum keluarganya membuat laporan polis serta menghubungi pihak bomba.
“Komander operasi melaporkan keadaan di lokasi hujan dan gelap serta kawasan ladang yang luas dan semak serta tiada talian telefon,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Kata beliau, operasi mencari mangsa dilakukan menggunakan teknik sweep di lokasi terakhir lelaki itu dilihat dengan bantuan polis dan penduduk kampung.
“Mangsa kemudian ditemui kira-kira pukul 12.45 tengah malam tadi iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dikatakan hilang,” ujarnya.
Sementara itu, komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang, Azahari Abdullah berkata, keadaan cuaca hujan dan ladang yang luas dan dipenuhi semak menyukarkan pencarian.
“Kami selepas itu mendengar suara mangsa tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang,” katanya. – UTUSAN