MERSING: Jeritan jiran berjaya menyelamatkan nyawa enam penghuni yang sedang tidur dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Jalan Dato’ Mohamad Ali Endau di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Endau, Mohd. Alias Hussin berkata, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 3.26 pagi.
Katanya, sebanyak empat jentera dengan kekuatan 24 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran berkenaan melibatkan dua rumah kayu yang terbakar 80 peratus. Kejadian disedari jiran yang terlihat api dari rumah mangsa sebelum menjerit menyuruh mangsa menyelamatkan diri.
“Rumah pertama dihuni sebuah keluarga seramai lima orang sementara rumah kedua didiami seorang penghuni. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Alias berkata, pihak bomba mengambil masa kira-kira 12 minit untuk mengawal kebakaran dan operasi ditamatkan pada jam 6.40 pagi.
“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya lagi. – UTUSAN