MARAN: Kejadian banjir kilat pada 23 Julai lalu memberi kesan kepada 212 pelajar Madrasah Darul Uloom Al-Islamiyah Jengka, di sini yang terpaksa belajar dan tinggal di asrama dalam keadaan serba kekurangan selepas hampir semua peralatan di situ rosak ditenggelami air.
Ia satu-satunya madrasah di negeri ini yang menjalinkan kerjasama dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) untuk pelajar melanjutkan pengajian di peringkat ijazah.
Kejadian itu mengakibatkan madrasah tersebut mengalami kerugian lebih RM50,000 selepas peralatan asrama, dapur, kelas, naskah al-Quran dan kitab-kitab agama ditenggelami air.
Mudir Madrasah Darul Uloom Al-Islamiyah, Mohd. Khairul Poniran, 50, berkata, banjir itu menyebabkan pengajaran dan pembelajaran di madrasah tersebut diteruskan dalam keadaan serba kekurangan.
“Sesi pembelajaran perlu diteruskan menggunakan ruang pejabat untuk dijadikan kelas selain menggunakan barang-barang yang masih ada dan boleh digunakan seperti rehal, meja-meja lama dan kitab-kitab yang telah dijemur.
“Tilam-tilam yang rosak akibat ditengelami air menyebabkan pelajar terpaksa menggunakan ‘toto’ untuk tidur selain tilam-tilam lama yang masih disimpan dalam stor,” katanya di sini semalam.
Menurut Mohd. Khairul, pengurusan madrasah menggunakan peruntukan yang ada dan membelanjakan kira-kira RM10,000 untuk menyediakan batu, pasir dan simen bagi membina tambak di hadapan premis serta di dalam kelas.
Katanya, kerja-kerja pembersihan dan pembaikan peralatan yang masih boleh digunakan dilakukan secara gotong-royong oleh pelajar dan tenaga pengajar di madrasah yang telah beroperasi sejak 10 tahun lalu.
“Kita masih memerlukan dana kira-kira RM40,000 bagi membeli peralatan baharu asrama seperti katil, tilam, kerusi meja, almari, cadar, bantal serta perabot termasuk al-Quran dan kitab tertentu bagi kemudahan pelajar,” katanya.
Menceritakan kejadian banjir kilat itu, beliau berkata, hanya dalam masa 20 minit air dari anak sungai berhampiran melimpah madrasah. – UTUSAN