SHAH ALAM: Sambutan Aidiladha tahun ini berbeza buat Noor Amira Rumzi apabila berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang kerana menjaga suaminya yang terlantar akibat dihempap kontena kosong di Pelabuhan Utara, 3 Julai lalu.
Malah, jelas suri rumah berusia 30 tahun itu, akibat keadaan suaminya, Mohd. Ghazali Sabri, 33, yang lumpuh daripada dada hingga kaki, mereka sekeluarga kehilangan punca pendapatan.
Menceritakan punca kejadian, Noor Amira berkata, suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori berada di tempat pemandu dan ketika kontena hendak diturunkan pada paras ketinggian kira-kira tingkat tujuh bangunan, ia jatuh di bahagian kepala kenderaan tersebut.
“Suami mengalami kecederaan dalaman terutama mengenai saraf tunjang sehingga dia tidak dapat merasai apa-apa walaupun kawan-kawan memegangnya.
“Malah, apabila dibawa ke hospital dia masih sedar dan ingat kejadian yang menimpanya. Buat masa ini, keadaannya stabil tetapi tidak boleh bercakap cuma tangan kanannya sudah boleh digerakkan sedikit.
“Doktor maklumkan suami kini lumpuh akibat kecederaan serius di bahagian saraf tunjang. Suami kini telah memulakan rawatan fisioterapi seperti disarankan doktor,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Noor Amira yang kini mengandung tiga bulan berkata, walaupun sedih dia perlu kuat demi suami dan lima anaknya yang masih kecil berusia 11 hingga tiga tahun.
“Saya akan balik ke rumah emak setiap minggu untuk melihat anak-anak. Setiap kali balik, hati berasa sayu kerana anak-anak akan bertanya mana ayah dan kenapa tak ikut balik sekali.
“Perasaan amat sedih dan saya hanya mampu memeluk serta menerangkan kejadian sebenar menimpa ayah mereka.
“Malah, anak-anak juga tidak bersekolah kerana tiada siapa yang menguruskan mereka yang kini dijaga oleh datuk dan nenek di Puncak Alam,” katanya. – UTUSAN