‘Sirih pulang ke gagang’ Shamsul Iskandar kembali terajui KEADILAN Hang Tuah Jaya - Utusan Malaysia

‘Sirih pulang ke gagang’ Shamsul Iskandar kembali terajui KEADILAN Hang Tuah Jaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sah kembali menerajui cabang KEADILAN kawasan itu selepas diumumkan menang dalam pemilihan parti yang berlangsung semalam.

Pengumuman rasmi dibuat oleh Jabatan Pemilihan Parti (JPP), sekali gus menandakan permulaan era baharu kepimpinan Shamsul untuk penggal 2025 hingga 2028. Kemenangan Shamsul dilihat sebagai isyarat jelas bahawa majoriti anggota parti menaruh keyakinan tinggi terhadap visi dan arah tuju yang dibawa beliau bersama pasukan kempen #keadilanmemimpin.

Pengarah Kempen, Farhan Ibrahim berkata, keputusan ini adalah hasil kerja keras semua pihak yang komited menjayakan pesta demokrasi parti.

“Kemenangan ini bukan sekadar kemenangan individu, tetapi kemenangan semangat KEADILAN untuk terus bergerak sebagai parti rakyat,” katanya.

Shamsul yang pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Industri Utama dan memimpin Cabang KEADILAN Jasin sejak 2004 juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Katil serta Hang Tuah Jaya. Pemilihannya diibaratkan sebagai ‘sirih pulang ke gagang’ kembali memperkukuh cabang yang pernah dipimpinnya sebelum ini.

Dengan mandat baharu ini, Shamsul dijangka segera menyusun semula struktur organisasi cabang dan memulakan persiapan rapi menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka yang dijangka diadakan pada tahun hadapan. Farhan turut menyeru seluruh anggota KEADILAN agar berganding bahu bersama kepimpinan baharu demi memastikan kelangsungan perjuangan reformasi.

“Kepimpinan bukan kemegahan, tapi amanah. Masa untuk bekerja demi rakyat,” tambahnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN