SHAH ALAM: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan kedudukannya dalam kepemimpinan DAP menerusi pemilihan yang berlangsung pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-18, hari ini.
Beliau berkata, enggan mengulas mengenai dakwaan berlaku usaha penyingkiran ‘keluarga Lim’ dalam pemilihan kali ini.
“Tak ada apa-apalah, biasa sahaja. Itu terpulang kepada wakil-wakil. Biar ia diputuskan oleh wakil-wakil, mereka adalah penentu yang paling penting sekali.
“Ini adalah parti yang demokrasi. DAP adalah parti demokratik. Ketika ini kesemua keputusan biar ditentukan oleh perwakilan. Ya, saya tenang. Saya sudah lalui situasi ini banyak kali,” katanya ketika ditemui pemberita pada kongres tersebut, hari ini.
Bagaimanapun, bekas Menteri Kewangan itu dilihat yakin dan optimis untuk mengekalkan kedudukannya dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu berikutan peningkatan jumlah perwakilan yang akan memilih.
“Saya berpuas hati dengan peningkatan jumlah perwakilan. Ia bukan perjalanan yang mudah (baginya). Untuk sampai ke tahap ini memerlukan usaha dan sokongan semua pihak. Saya ingin ucapkan tahniah kepada semua.
Terdahulu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dilapor bertemu ahli di peringkat akar umbi untuk mendapatkan sokongan daripada perwakilan untuk kekal berada dalam kepemimpinan tertinggi parti.
Malah, beliau juga dilaporkan menolak sebarang perbincangan berkaitan tindakan menarik diri daripada bertanding pada pemilihan di peringkat kebangsaan.
Pada pemilihan yang akan berlangsung pada kongres hari ini, seramai 70 calon menawarkan diri untuk merebut kedudukan dalam CEC bagi sesi 2025 – 2028.
Antara yang bertanding ialah, Setiausaha Agung (semasa), Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Pengerusi Kebangsaan; Gobind Singh Deo; Naib Pengerusi, Chow Kon Yeow; Timbalan Setiausaha Agung, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Setiausaha Organisasi Kebangsaan dan Steven Sim Chee Keong.
Selain itu, seramai enam calon lain terdiri daripada Melayu turut tercalon iaitu Young Syefura Othman, Syahredzan Johan, Supian Zaharin, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali dan Azaha Abdul Rani.
Turut bertanding adalah wakil dari suku Bidayuh, Mordi Bimol yang merupakan Ahli Parlimen Mas Gading (Sarawak). – UTUSAN