KUALA SELANGOR: Jawatan Perdana Menteri tidak wajar dihadkan untuk tempoh dua penggal atau 10 tahun kerana dikhuatiri akan memberi kesan besar kepada dasar dan pembangunan negara.
Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Noh Omar berkata, beliau menentang cadangan tersebut, malah menasihatkan DAP supaya tidak perlu bersikap kecoh kerana berdasarkan konvensyen dan menghormati kontrak sosial, jawatan itu seharusnya hak orang Melayu sendiri.
“DAP tidak perlu kecoh dan jawatan itu hak orang Melayu. Isu itu sensitif, saya rasa DAP tidak perlu nak mengajar bagaimana orang Melayu memerintah negara.
“Bagi saya, DAP tak perlu kecoh tentang isu Perdana Menteri walaupun benar Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan bahawa ia mesti orang Melayu. Namun, berdasarkan konvensyen dan menghormati kontrak sosial, jawatan itu seharusnya hak orang Melayu sendiri,” katanya ketika ditemui pada program sumbangan Aidilfitri asnaf anak yatim, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana ia tidak akan memberikan kesan baik kepada negara.
Tugas itu terserah pada tanggungjawab ahli-ahli Parlimen tanpa mengira berapa lama seseorang menjadi Perdana Menteri dan banyak masalah gagal diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.
Minggu lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berharap kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 24 bulan ini bagi mengehadkan tempoh jawatan itu kepada 10 tahun.
Menteri Pengangkutan itu memaklumkan ia janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bersetuju dengan cadangan itu kerana memegang janji melaksanakan agenda reformasi, namun ia perlu dibuat secara rapi dan memerlukan konsensus semua parti serta dua pertiga ahli Parlimen.
Selain itu, Noh turut mencadangkan supaya menetapkan Perdana Menteri Malaysia mesti seorang Melayu dan beragama Islam jika Perlembagaan dipinda bagi mengehadkan tempoh jawatan itu
“Kita ambil contoh Selangor. Berdasarkan Undang-Undang Tubuh negeri, disebut bahawa Menteri Besar mestilah Melayu Islam. Mungkin ketika menggubal Perlembagaan dulu, perkara ini terlepas pandang tetapi ia adalah sesuatu yang penting,” jelasnya.
Bagaimanapun beliau menambah, jawatan Perdana Menteri merupakan hak Melayu tanpa mengira parti mana yang mereka wakili. – UTUSAN