Pengundi Melayu 51 peratus, pemastautin wajar tukar tempat undi

Pengundi Melayu Selangor 51 peratus, pemastautin wajar tukar tempat undi

Melayu Selangor
NURUL Syazwani Noh menyerahkan sumbangan kepada penerima pada program itu dekat Tanjong Karang, di Kuala Selangor, Selangor, semalam. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Penduduk kaum Melayu yang bermastautin di Selangor wajar menukar alamat mengundi ke negeri ini berikutan komposisi pengundinya hanya 51 peratus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, jumlah itu ternyata jauh lebih rendah daripada tanggapan umum.

“Mungkin ramai tidak sedar namun hakikatnya pengundi Melayu di Selangor cuma 51 peratus ketika ini. Ramai yang tinggal di negeri ini, namun masih mengundi di negeri asal.

“Justeru, mereka yang lama menetap, bekerja dan berkeluarga harus mendaftar sebagai pengundi di Selangor,” katanya ketika ditemui pada program sumbangan Aidilfitri asnaf anak yatim, semalam.

Utusan Malaysia pada 13 Mac lalu melaporkan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri mahu rakyat Selangor mengundi di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengundi yang berdaftar di negeri lain namun menetap di Selangor perlu segera menukar alamat undi bagi memperkukuhkan peluang Perikatan Nasional (PN) memenangi pilihan raya.

Namun, seruan itu mendapat pelbagai reaksi termasuk Parti Amanah Negara (Amanah) yang menyifatkan ia tindakan terdesak bagi meraih sokongan pengundi.

Tambah Nurul Syazwani yang Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjong Karang, sistem pendaftaran pemilih menetapkan seseorang perlu mengundi di lokasi mereka tinggal berdasarkan alamat di kad pengenalan.

“Kalau sudah lama di Selangor, mencari rezeki dan anak-anak pun bersekolah di sini, lebih wajar mereka mengundi di Selangor. Ia bukan saja lebih mudah bagi mereka malah dapat memastikan demokrasi berjalan dengan lebih adil dan telus,” ujarnya.

Jelasnya lagi, tidak dinafikan ia memberi kelebihan kepada PN dalam PRN jika lebih ramai pengundi Melayu mendaftar dan mengundi di Selangor.

“Namun, saya tegaskan bahawa PN bukan hanya untuk orang Melayu kerana gabungan ini bersifat inklusif dan diterima semua kaum.

“Sebagai contoh di Permatang, kita tetap mendapat sokongan semua lapisan masyarakat biarpun 60 peratus pengundi adalah Melayu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya