SHAH ALAM: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Saifuddin Shafi Muhammad umum sertai perebutan kedudukan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 pada Mei ini.
Beliau yang juga Pengarah Strategi PKR Selangor berkata, keputusan itu dibuat dengan panduan dan inspirasi daripada kepemimpinan terdahulu serta pengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan parti.
Menurutnya, beliau yakin suara akar umbi parti itu yang tertumpu kepada keperluan bergerak ke tahap lebih kukuh, berani dan konstruktif demi masa depan yang lebih gemilang.
“Hasrat itu lahir daripada rasa prihatin terhadap hala tuju dan dinamik Keadilan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Walaupun agenda reformasi dilaksanakan di peringkat kerajaan, terdapat jurang ketara pada peringkat akar umbi yang memerlukan perhatian lebih progresif dan strategik.
“Di sinilah peranan kita sebagai pemimpin memastikan suara anggota didengar, keperluan mereka difahami dan aspirasi mereka diutamakan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Amirudin mengesahkan untuk mengekalkan kedudukan sebagai naib presiden PKR atau orang ketiga selepas presiden dan timbalan pada pemilihan parti itu yang dijangka kongresnya akan diadakan di Johor.
Susulan keputusan tersebut kepemimpinan PKR Selangor baru-baru ini menyatakan sokongan terhadap keputusan Ahli Parlimen Gombak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu.
Sementara itu, Saifuddin menyatakan beliau bersedia menawarkan kepemimpinan dan pengalamannya kepada parti ke arah kepemimpinan yang lebih berani dan dinamik atas empat faktor.
Faktor tersebut merangkumi berani mendengar; responsif dan progresif; mengutamakan kebersamaan, menginspirasi dan melaksanakan.
“Dalam beberapa bulan akan datang, saya akan turun ke cabang-cabang seluruh negara untuk menyampaikan mesej secara terus kepada anggota. Saya mahu mendengar sendiri pandangan, harapan, dan cadangan daripada akar umbi.
“Saya menawarkan kepimpinan yang memupuk inspirasi, membina keyakinan, dan membawa perubahan yang realistik dan berani. Kita memerlukan MPP yang tidak gentar memimpin, tidak takut berubah, dan berani berdepan dengan cabaran,” jelasnya. – UTUSAN