SHAH ALAM: Pas Selangor menyatakan sokongan teguh kepada Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk terus mengemudi parti biarpun wujud tuntutan pengunduran beliau atas faktor kesihatan dan peremajaan parti.
Pesuruhjayanya, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, kepimpinan Presiden parti itu sentiasa relevan dengan keadaan semasa termasuk kejayaan bersejarah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu, ketokohan Abdul Hadi terbukti apabila Pas bersama Perikatan Nasional (PN) berjaya meraih 22 kerusi di Selangor dan memerintah empat negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
“Selagi rakyat dan ahli Pas memerlukan Tok Guru (Presiden), kami di Selangor akan terus mendukung beliau.
“Di bawah kepimpinan beliau, Pas bukan saja mengukuhkan pengaruh malah membawa PN ke tahap lebih tinggi. Ini zaman kita menang besar, kenapa pula mahu berundur,” katanya pada sesi dialog dan Iftar Ramadan bersama media, malam tadi.
Utusan Malaysia bulan lalu melaporkan Pas masih memerlukan Abdul Hadi mengetuai parti itu di sebalik terdapat pandangan mengenai kewajaran menggantikan Presiden.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menyatakan mahu gandingan Abdul Hadi bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dikekalkan menjelang muktamar di Kedah pada September depan.
Mengulas lanjut, Ab. Halim turut menyelar kritikan segelintir pihak bahawa faktor usia Abdul Hadi menjadi penghalang untuk terus aktif berpolitik.
“Soal umur tidak penting, namun ia soal cara kepimpinan. Lihatlah sejarah dan perjuangan Islam tidak mengenal usia. Presiden bukan sekadar pemimpin politik tetapi murabbi (pembimbing rohani) dan simbol perjuangan Islam yang tiada noktah,” tegasnya.
Tambah beliau, pengalaman Abdul Hadi memimpin Pas menjadi faktor penting dalam menghadapi gelombang politik pada masa kini. – UTUSAN