SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi menawarkan diri untuk merebut jawatan Ketua Cabang PKR Shah Alam pada pemilihan parti peringkat cabang 20 April depan.
Beliau memberitahu sebagai orang kedua akan merebut jawatan itu selepas Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail sebelum ini dilapor mahu mempertahankan kedudukannya.
Mohd. Najwan berkata, beliau menawarkan diri dan kepimpinannya untuk memastikan PKR Cabang Shah Alam lebih agresif dan menjaga kesemua 15,000 ahli termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu tiga, walaupun kawasan itu kini diwakili oleh anggota Parti Amanah Negara (Amanah).
“Baik, kita lihat di Cabang Shah Alam sekarang ini, keperluan untuk kita menawarkan barisan kepimpinan baharu yang lebih segar, tidak lesu yang pada masa sama boleh menawarkan khidmat lebih efektif.
“Maknanya sekarang kalau kita lihat Keadilan Shah Alam suatu ketika dahulu adalah cabang yang dihormati, kuat dan diibaratkan kalau tumbang di Shah Alam maka tumbanglah Selangor,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Malah, tambah Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan itu, beliau turut menawarkan usaha untuk memastikan kerusi DUN Batu Tiga dikembalikan kepada PKR pada pilihan raya akan datang sekali gus mengukuhkan kedudukan parti di kawasan tersebut.
Selain jawatan tersebut, Mohd. Najwan juga memaklumkan kesediaan untuk bertanding jawatan di peringkat pusat, namun akan memaklumkan perkembangannya kemudian kerana mahu memberi tumpuan di Shah Alam.
Terdahulu, Rodziah yang juga bekas Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, dilapor akan mencabar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk merebut jawatan Ketua Wanita PKR pada pemilihan peringkat pusat, Mei nanti, selain jawatan ketua cabang.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda PKR (AMK) Cabang Shah Alam, Muhammad Izuan Ahmad Kasim ketika ditemui dalam sidang akhbar sama menyatakan sokongan sayapnya terhadap tawaran dan kepimpinan Mohd. Najwan.
“Untuk jawatan Ketua AMK Cabang Shah Alam, hari ini kami datang memberi sokongan kepada Mohd. Najwan selaku calon, macam yang disebutkan tadi untuk memberi nafas baharu, kami daripada AMK berpandangan sebab beliau masih muda dan kami rasa perlu pembaharuan.
“Kalau tengok, ketua cabang sedia ada (Rodziah) agak lama di Shah Alam, jadi mungkin nafas baharu perlu dibawa di Shah Alam dan kami di AMK Shah Alam memberikan sokongan kepada Mohd. Najwan terlebih dahulu,” jelasnya. – UTUSAN