SHAH ALAM: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim menawarkan diri untuk merebut jawatan Timbalan Ketua AMK 2025 – 2028 dalam pemilihan PKR peringkat sayap itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara itu berkata, beliau bersedia menawarkan kepemimpinannya dan pengalaman dalam parti selama 13 tahun.
Selama 13 tahun, saya telah turun ke medan pilihan raya di seluruh Malaysia pilihan raya umum (PRU), negeri (PRN) dan kecil (PRK).
Oleh itu, saya memahami denyut nadi akar umbi dan cabaran sebenar di lapangan. Berbekalkan pengalaman itu, saya berikrar untuk memperkasa gerak kerja parti agar lebih tersusun, bersedia, dan ampuh untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pemilihan kali ini disifatkan kritikal kerana bukan melibatkan penentuan kepemimpinan parti semata-mata, bahkan masa depan AMK dalam menghadapi PRU16 sebagai barisan hadapan.
“Dengan Perdana Menteri datang dari Keadilan, menjadi tanggungjawab AMK untuk memastikan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kukuh dan Keadilan kembali merampas kerusi yang terlepas.
“Dengan penuh keinsafan, semangat perjuangan yang tidak pernah padam dan tekad yang tidak pernah goyah. Saya pohon sokongan dan dokongan rakan-rakan untuk bersama menggerakkan AMK ke arah PRU16,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan beliau akan mempertahankan kedudukannya sebagai Naib Presiden PKR selepas wujud desas desus beliau akan mencabar Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden.
Bagaimanapun, kedudukan Rafizi masih menjadi teka-teki selepas bekas Setiausaha Agung parti berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula didakwa mahu mencabar Menteri Ekonomi itu pada pemilihan PKR pada Mei depan. – UTUSAN