SHAH ALAM: Bekas Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berada dalam 30 tertinggi untuk dipilih dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) selepas mendapat sokongan 1,719 undi pada pemilihan yang berlangsung hari ini.
Kedudukan itu sekali gus menafikan naratif penyingkiran ‘Dinasti Lim’ daripada kepemimpinan DAP selepas wujud desas-desus cubaan melakukan tindakan tersebut oleh kumpulan tertentu untuk menamatkan penyertaan ‘keluarga Lim’ dalam pentadbiran parti.
Pimpinan yang dilihat turut kekal dalam pemilihan pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-18, hari ini iaitu Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook dan mempertahankan jawatannya sebagai Setiausaha Agung.
Selain itu adalah Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng.
Gobind Singh yang juga Menteri Digital mengekalkan status dengan memperoleh jumlah undi tertinggi seperti pemilihan sebelum ini iaitu 2,785 undi diikuti Chong Chien Jen (2,631), Timbalan Menteri Penerangan, Teo Nie Ching (2,585), Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ng Suee Lim (2,563) dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Selain itu, turut menduduki 30 tertinggi iaitu Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin (2,503), Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ng Sze Han (2,437), Khoo Poay Teong (2,390), Chan Fong Hin (2,632), Wong Kah Woh (2,265) dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong (2,262).
Vivian Wong Shir Yee (2,244), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (2,215), Lee Chin Chen (2,172), Menteri Belia dan Sukan, Hannah Tseow Suan (2,169) dan Alice Lau Kiong Yieng (2,165) turut menyertai senarai 30 tertinggi.
Malah, Liow Cai Tung (2,139), Teo Kok Seong (2,107), Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (2,101), Syahredzan Johan (2,065), Young Syefura Othman (1,943), Liew Chin Tong (1,929) dan Ramkarpal Singh (1,917) juga terpilih.
Pegawai Pengurus Pemilihan CEC DAP, Desmond Tan turut memngumumkan J. J. Arul Kumar (1,747), P. Kasthuriraani (1,722), Guan Eng (1,719), bekas Ketua Dapsy, Howard Lee Chuan How (1,703), Wong Shu Qi (1,655), Tan Hong Pin (1,585) dan Ngeh Koo Ham (1,584) juga tidak ketinggalan.
Kesemua yang terpilih itu kemudian bermesyuarat untuk membentuk jawatankuasa baharu CEC DAP bagi penggal 2025 hingga 2028
Bagaimanapun seramai enam calon dilaporkan menarik diri pada saat akhir. Sementara bekas Timbalan Setiausaha Agung, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan bekas Naib Pengerusi Kebangsaan, Teresa Kok Suh Sim serta bekas Ahli Jawatankuasa CEC, R. Sanisvara Nethaji Rayer gagal meraih tempat apabila masing-masing mendapat 694, 1,331 dan 1,311 undi.
Pada pemilihan kali ini, empat pemimpin tidak lagi bertanding iaitu bekas penasihat Tan Kok Wai; bekas naib pengerusi, M. Kulasegaran, bekas bendahari, Fong Kui Lun dan bekas setiausaha antarabangsa, Jannie Lasimbang. – UTUSAN