DAP lantik badan bebas kendali pemilihan CEC

DAP lantik badan bebas kendali pemilihan CEC

DAP
STEVEN Sim Chee Keong ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Wanita MyWira 2025 Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: DAP melantik badan auditor antarabangsa bagi mengendalikan pemilihan parti yang akan berlangsung pada Ahad ini sebagai inisiatif menjamin kebebasan dan ketelusannya serta menangkis sebarang cubaan mana-mana pihak mempengaruhinya.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan parti itu, Steven Sim Chee Keong berkata, pelantikan badan tersebut dibuat atas dasar ia sebagai pihak ketiga dan tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam parti.

“Kita melantik pihak ketiga yang bebas, auditor bebas antarabangsa sebagai pengendali atau ‘SPR’ kali ini. Jadi saya yakin dengan budaya DAP, perwakilan dan ahli bahawa tiada perkara seperti itu (beli perwakilan),” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan wujud amalan politik wang dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu termasuk cubaan membeli perwakilan bagi mempengaruhi keputusannya.

Jelas Steven Sim yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang, dakwaan dibuat oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees adalah tidak berpadanan apabila beliau bukan lagi ahli DAP.

“Dia bukan sahaja bekas ADUN, tetapi bekas ahli. Jadi bagaimana dia boleh dapat maklumat semua itu. Saya yakin dengan ahli dan para perwakilan bahawa pemilihan parti kali ini akan dilaksanakan dalam keadaan bersih, telus dan adil.

“Beliau bukan ahli parti dan boleh cakap apa sahaja, kalau hendak pergi ke SPRM itu hak dia,” ujarnya.

Pemilihan DAP pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-18 hujung minggu ini akan menyaksikan 70 calon bakal merebut 30 jawatan dalam CEC di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya