KANGAR: UMNO negeri memberi peringatan kepada DAP agar memastikan sebarang kenyataan atau ucapan membabitkan pemimpinnya agar lebih cermat agar tidak menjejaskan keharmonian antara kaum.
Ketua Penerangan UMNO negeri, Hamunir Hamzah berkata, cadangan atau kenyataan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dari DAP agar Menteri Hal Ehwal bukan Islam diwujudkan berpotensi menjejaskan keharmonian yang sudah lama terjalin antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Katanya, risiko kenyataan tersebut juga boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan antara masyarakat Islam serta bukan Islam selain boleh membuka ruang kepada manipulasi politik tidak sihat.
Ujar beliau, Malaysia sudah lama menikmati keamanan melalui pendekatan yang sedia ada dan tiada keperluan untuk mencipta struktur yang berisiko menimbulkan perpecahan.
“DAP juga diingatkan bahawa di dalam persetujuan pembentukan kerajaan Perpaduan, UMNO adalah parti yang mewakili suara Melayu dan berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan kerajaan Malaysia yang jelas di dalamnya mengandungi perkara-perkara yang berkaitan agama, bangsa dan tanah air.
“Justeru, UMNO Perlis ingin memberi peringatan dan amaran agar DAP dapat memastikan sebarang kenyataan atau pun ucapan mereka perlu lebih cermat,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, jemaah Menteri tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan seorang menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam di peringkat Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, negara sudah mempunyai Menteri Agama serta Menteri Perpaduan yang mewakili semua kaum dan komposisi ini dianggap mencukupi untuk memastikan kesejahteraan serta keharmonian rakyat.
Kata Anwar, kenyataan Yu Hui adalah suara peribadi dan tidak dipersetujui oleh mana-mana dalam kerajaan apa lagi dalam Jemaah Menteri.
Kelmarin, Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.
Katanya, dua menteri agama boleh membincangkan isu berkaitan secara lebih berkesan serta mengelakkan sebarang kontroversi tidak diingini.
Sementara itu, Hamunir berkata, UMNO Perlis menyambut baik keputusan kerajaan yang tidak menerima cadangan tersebut.
“UMNO Perlis berpendirian tegas bahawa tidak ada keperluan untuk mewujudkan kementerian berkaitan masyarakat bukan Islam itu yang bersesuaian dengan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (perkara 3) iaitu Islam adalah agama Persekutuan dan menghormati kebebasan beragama untuk semua yang juga termaktub dalam Perlembagaan.
“Kita juga menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang amat prihatin dan memahami situasi dan kehendak kaum majoriti negara ini dan sentiasa memastikan sensitiviti antara kaum dan agama terjaga,” katanya.-UTUSAN