ALOR SETAR: Kerajaan negeri di bawah kepemimpinan sedia ada telah menunjukkan prestasi yang stabil dan membanggakan dalam mentadbir Kedah.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, tiada alasan untuk rakyat negeri ini menukar kerajaan negeri yang terbukti berkesan dalam membawa kemajuan.
Ujarnya, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sepatutnya berjaga-jaga dengan jangka hayat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Pusat belum tentu selamat untuk PH dan BN, mereka sudah kalut hendak Kedah pula, saya risau yang dikejar tak dapat yang dikendong pula berciciran nanti. Tiada sebab rakyat Kedah hendak tukar kerajaan negeri, tapi banyak sebab pengundi Kedah hendak tukar kerajaan pusat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau yang juga Ketua Dewan Ulama Pas mengulas kenyataan Pengerusi PH Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa, PH bersama BN sedang giat mempersiapkan diri sebagai ‘kerajaan menanti’ di Kedah menjelang pilihan raya negeri (PRN) seterusnya.
Saifuddin yang baharu dilantik ke jawatan itu berkata, PH dan BN dalam pertemuan baru-baru ini turut berbincang untuk memposisikan mereka sebagai pembangkang yang berkredibiliti dan efektif.
Perikatan Nasional (PN) menguasai 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dengan sebahagian besarnya disumbang oleh Pas.
Antara kerusi dimenangi gabungan itu adalah Ayer Hitam, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Kuala Nerang, Pedu, Bukit Lada, Bukit Pinang, Alor Mengkudu, Anak Bukit, Pengkalan Kundor, Sungai Limau, Guar Chempedak dan Gurun.
Turut dimenangi PN adalah Belantek, Jeneri, Bayu, Kupang, Kuala Ketil, Merbau Pulas, Kulim, Bandar Baharu, Ayer Hangat, Kuah dan Suka Menanti manakala PH hanya menang di Kota Darul Aman, Bakar Arang dan Sidam.
Kemenangan itu sekali gus membolehkan PN yang ditunjangi Pas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) terus menerajui pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. – UTUSAN