SHAH ALAM: Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) didakwa bakal menyebabkan penduduk di kawasan penempatan seperti rumah pangsa atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) kehilangan tempat tinggal atau berterusan terbeban dengan kos sara hidup di bandar.
Ini kerana, penggubalan dasar tersebut bakal menyebabkan penghuni rumah pangsa dan PPR majoritinya adalah golongan B40 terpaksa berdepan dengan yuran penyelenggaraan perumahan baharu yang tinggi.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Bersatu, Tan Sri Noh Omar menyifatkan RUU PSB sebagai cara paling halus bagi menyingkirkan golongan tersebut yang hampir keseluruhannya adalah orang Melayu untuk meninggalkan kawasan bandar.
Beliau berkata, sekiranya RUU tersebut diluluskan dan ia dikuatkuasakan, orang Melayu akhirnya akan kembali pulang ke kampung kerana tidak mampu berdepan dengan yuran penyelenggaraan perumahan mereka.
“Seperti di Lembah Subang 1, di atas tanah kira-kira 30 ekar dan ada 3,000 unit rumah. Bayangkan di atas tanah tersebut mereka (kerajaan) hendak bangunkan rumah baharu, mereka boleh memberikan dua tawaran kepada penghuni, pertama memberi ganti rugi.
“Rumah PPR harganya dahulu sekitar RM35,000. Jadi, dia (kerajaan) boleh (bayar) ganti rugi (pampasan) sampai RM300,000. Ke mana penghuni hendak membeli rumah baharu yang ada di dalam bandar?
“Pilihan kedua, mungkin penghuni kata kalau dibina kondominium lima bintang, beli satu unit rumah tersebut. Bayangkan kalau mereka tinggal di kondominium, rumahnya cantik, bayangkan juga untuk membayar yuran penyelenggaraannya kerana tertakluk di bawah Akta Pengurusan Strata 2013.
“Penyelenggaraan sahaja perlu membayar sekitar RM400 hingga RM500 sebulan atau mungkin lebih daripada itu. Mampu ke mereka bayar? Kalau tak bayar, di bawah akta tersebut, rumah itu boleh disita. Jadi itulah akhirnya yang kita lihat,” katanya menerusi satu hantara video, malam tadi.
Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam Sidang Dewan Rakyat kelmarin dalam sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih titah Diraja memberitahu, RUU PSB tidak akan meminggirkan, mengancam atau merampas hak golongan tertentu.
Jelasnya, pelaksanaan PSB juga perlu mendapatkan persetujuan pemilik hartanah melalui perundingan dan bukan secara paksa, malah pemaju juga tidak menjalankan rundingan dengan pemilik hartanah tanpa campur tangan kerajaan.
Bagaimanapun, Noh yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggesa pendedahan ulasan daripada Jabatan Peguam Negara dan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (KPTG) kerana RUU tersebut didakwa bercanggah dengan Kanun Tanah Negara (KTN), Akta Pengambilan Tanah 1960 dan Akta Pengurusan Strata 2013.
Soalnya, bagaimana di dalam RUU berkenaan, pembangunan semula bandar ttidak perlu mendapat 100 peratus persetujuan daripada penghuni.
“Saya pun hairan bagaimana Kabinet boleh meluluskannya yang bercanggah dengan undang-undang sedia ada. Jadi, saya bimbang apa yang diramalkan selama ini akan menjadi kenyataan.
“Kalau perancangan itu berlaku, maka rumah pangsa dan PPR yang majoritinya orang Melayu itu akan diruntuh dan digantikan dengan kondominium yang mahal. Di manakah nasib orang Melayu pada masa hadapan? Kalau itu berlaku, nasib orang Melayu seperti ‘abu di atas tunggul’,” tegasnya.
Noh yang juga bekas Menteri Usahawan dan Koperasi, turut mengingatkan susulan peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan ketika itu menggalakkan orang Melayu dan India datang dan tinggal di bandar sehingga menjadi setinggan di dalam bandar.
“Apabila kawasan-kawasan setinggan hendak dibangunkan, maka kerajaan memberi peluang kepada penduduk setinggan membeli rumah-rumah flat yang murah dan rumah PPR pun dibina.
“Hari ini, apakah perancangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan? Mereka saya lihat mungkin dengan nasihat-nasihat daripada penasihat dari Singapura ke? Untuk mereka membangunkan semula rumah pangsa dan PPR. Di Kuala Lumpur ada 32 dan Selangor ada enam rumah PPR,” ujarnya. – UTUSAN