KUALA SELANGOR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mencampuri urusan jawatankuasa pemilihan parti dan menyerahkan kepada pihak tersebut untuk menentukan sama ada jawatan beliau dan timbalan dipertandingkan atau sebaliknya pada pemilihan akan datang.
Beliau berkata, prinsip demokrasi dalam parti itu adalah dihormati dan enggan mencampuri urusan berkenaan.
“Biar mereka putuskan saya tak campur, biar demokrasi yang bertanding, tak bertanding dia (jawatankuasa) putus sendiri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat Harmoni Madani Bestari Jaya, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin, dilaporkan memberitahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden berkemungkinan tidak akan dipertandingkan.
Namun, tindakan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu menimbulkan pertikaian dalam kalangan ahli yang menyarankan supaya dua jawatan tertinggi itu dipertandingkan termasuk veteran PKR yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim apabila mempersoalkan rasional tindakan sedemikian.
Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh sebelum ini memaklumkan, PKR memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP), diadakan pada 24 Mei.
Menurutnya, pemilihan bagi jawatan di peringkat cabang semua sayap pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April seperti mana diputuskan MPP yang bermesyuarat 26 Januari lalu. – UTUSAN