SHAH ALAM: Pimpinan perlu berbincang secara rasional untuk menentukan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PKR wajar dipertandingkan dalam pemilihannya pada Mei ini selain kesannya kepada perpaduan dan kerajaan.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara perkara perlu diteliti adalah kesan kepada parti yang kini menjadi tunjang dalam penubuhan kerajaan apabila terdapat ramai pemimpinnya menganggotai Kabinet dan kerajaan negeri.
Menurutnya, bagaimanapun hak demokrasi tetap diberikan dalam pemilihan tersebut dan parti terbuka kepada mana-mana ahli untuk bertanding.
“Jadi, bagi saya mudah pihak yang bertanding akan dapat memperkukuhkan parti atau memperkemas gerak kerja dan meningkatkan lagi keutuhan, bolehlah.
“Tetapi, kalau pertandingan itu akhirnya menimbulkan perbalahan dan menggoyang parti dalam jangka masa panjang terhadap keutuhan kerajaan, kerana impakknya akan mempengaruhi kerajaan, saya rasa wajar dimusyawarahkan,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan PKR pada Mei ini bukan keputusan tetap susulan perkara tersebut masih diperingkat cadangan dan belum diputuskan.
Naib Presiden, Chang Lih Kang memberitahu, PKR sebagai sebuah parti yang bersifat demokratik tidak pernah melarang sesiapa sahaja untuk bertanding apa-sapa jawatan pada pemilihan parti itu.
Sementara itu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor memberitahu beliau masih berteka-teki sama ada mahu mempertahankan kedudukannya atau sebaliknya, namun mengakui akan bertanding dalam pemilihan di peringkat pusat.
“Seingat saya hanya tahun 2010 tidak terlibat dalam mana-mana pertandingan di peringkat pusat. Jadi, insya-Allah, saya akan bertanding di peringkat pusat. Cuma belum putuskan lagi jawatan. Dalam masa terdekat mungkin sebelum puasa atau dalam satu dua hari selepas puasa.
“Setakat ini saya tak sempat lagi fikir, tak apa saya akan pertimbangkan. Suasananya banyak, pertemuan dengan ramai pihak sudah berlaku, ada yang menggesa saya bertanding jawatan yang sama, ada yang menggesa bertanding jawatan lain dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN