“Ketepikan perbezaan politik, masa untuk saling membantu,”- Mawardah - Utusan Malaysia

“Ketepikan perbezaan politik, masa untuk saling membantu,”- Mawardah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH – “Dalam situasi getir seperti ini seharusnya kita saling membantu dan jangan menunding jari menyalahkan sesiapa,” itu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Srikandi Muda Bersatu Malaysia, Mawardah Ahmad Yusni susulan rungutan penduduk di sekitar Bidor dan Tapah berkenaan gangguan bekalan air yang terputus sejak lima hari lalu sekaligus menyukarkan aktiviti harian mereka.

Menurutnya, banyak rungutan yang diterima daripada penduduk berkenaan isu tersebut sehinggakan ada di antara mereka yang sudah hilang sabar kerana terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama.

Katanya lagi, hari ini beliau telah berkunjung ke Pejabat Lembaga Air Perak Tapah dan bertemu dengan pihak terlibat untuk mendapatkan gambaran jelas berkenaan isu tersebut. Menurutnya, pihak Lembaga Air Perak (LAP) sedang berusaha keras menyelesaikan isu bekalan air dalam anggaran seminggu, namun masih belum dapat memberikan jangka masa tepat untuk pemulihan sepenuhnya.

“Usaha membina laluan pintasan di kawasan terjejas juga sedang dilaksanakan. dan mereka memberitahu pihak LAP kini sedang giat menjalankan kerja-kerja pemulihan bekalan air dengan kadar segera,”

“Kami memahami kesulitan yang dihadapi penduduk dan akan terus berusaha menyalurkan bantuan sewajarnya bagi memastikan kesejahteraan penduduk terpelihara. Saya berharap penduduk bersabar dan memberi ruang kepada pihak berkenaan untuk menyelesaikan kesulitan ini secepat mungkin, Srikandi Muda Bersatu Malaysia komited untuk terus membantu dan menyokong usaha pemulihan di kawasan yang terjejas.” ujarnya.

Sehubungan itu, Exco Srikandi Muda Malaysia, Nurul Hidayah Anuar, bersama Wan Noor Fairus, menyeru agar semua penduduk yang terjejas di kawasan Tapah, Bidor, dan Teluk Intan bersabar serta memberi ruang kepada pihak LAP untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.

Menyelami perasan penduduk ketika ini, Nurul Hidayah berharap segala kesulitan ini dapat diatasi secepat mungkin serta mengharapkan penduduk terjejas terus diberi keutamaan untuk mendapatkan sumber bekalan air yang bersih.

“Kebanyakan penduduk di sini semuanya berkeluarga, jadi bila terputusnya bekalan air pasti akan timbul pelbagai masalah terutamanya jika ada individu yang uzur, sakit, kurang upaya dan sebagainya. Kita akan terus memantau dan memastikan mereka tidak terpinggir dan diberikan keutamaan,”

“Sebagai langkah sementara, agihan air secara berkala sedang dilaksanakan, jadi saya berharap penduduk peka dengan maklumat pergerakan lori tangki di kawasan masing-masing. Segala maklumat boleh rujuk di laman sosial LAP bagi memastikan kemudahan asas terus dapat dinikmati oleh penduduk terkesan,” ujarnya ketika ditemui hari ini semasa mengadakan lawatan ke rumah mangsa kejadian tanah runtuh selasa lalu.

Isu gangguan bekalan air yang berlarutan hampir seminggu ini susulan berlakunya kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Bunga Raya, Jalan Pahang Tapah pada Selasa lalu sehingga mengakibatkan empat unit rumah di kawasan tersebut mengalami kerosakan teruk namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Runtuhan tersebut turut menyebabkan saluran paip air mentah yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh bocor dan mengakibatkan beberapa kawasan di Tapah, Bidor dan Teluk Intan mengalami gangguan bekalan air.

Kerja-kerja pembaikan paip bocor sedang giat dilakukan melibatkan pemasangan dinding penahan di bahagian atas dan bawah kawasan runtuhan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN