Isu padi, beras tak selesai selagi ada kartel - Sanusi - Utusan Malaysia

Isu padi, beras tak selesai selagi ada kartel – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor ketika berucap pada majlis Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia 1.0 di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar, Kedah malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Industri padi dan beras negara akan terus dibelenggu pelbagai masalah selagi kegiatan yang didakwa didalangi kartel tidak dibanteras sepenuhnya oleh kerajaan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, kegiatan menukar bungkusan beras tempatan kepada beras import turut menyebabkan bekalan beras tempatan tiada di pasaran sehingga kini.

Katanya, pihak yang mempertikai peranannya terhadap industri padi dan beras di Kedah tidak sepatutnya berbuat demikian memandangkan kerajaan negeri tidak ada kuasa terhadap perkara itu.

“Mereka kata Menteri Besar buat apa beras hilang kerana padi tanam di Kedah. Cuba mereka bagi kuasa beras kepada saya kerana kerajaan negeri tidak ada kuasa pada beras. Apabila ditubuhkan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) pada 70-an, agensi ini mengawal kawasan tanaman padi. 

“Ada macam-macam agensi kawal industri pula, lesen beli padi, lesen simpan padi, lesen kilang padi kemudian ada lesen simpan dan jual beras, semua ada lesen di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. 

“Isu benih pun tak selesai, saya biasa kata ada kartel kawal industri padi, mereka marah kata saya tak betul. Selagi tak dipecahkan kartel, tak ada kesungguhan, keberanian untuk hadapi kartel ini, isu beras padi tak akan selesai,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas berkata demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia 1.0 di Kompleks Pas Kedah di sini, malam tadi.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan perlu membanteras sepenuhnya kegiatan kartel padi sekiranya mahu membela nasib petani dan rakyat yang mahukan harga beras murah di pasaran.

Katanya, petani yang membanting tulang menanam padi kekal dibelenggu masalah apabila ‘diikat’ kilang padi melalui sistem kanchu sejak dahulu lagi menyebabkan mereka terus mengalami kesempitan hidup.

Dakwanya, kartel yang mengawal benih, harga belian padi dan jualan beras termasuk menipu para petani tetapi pihak berkaitan menafikan perkara itu termasuk memarahinya.

“Mereka tahu tak puak ini tukar bungkusan beras tempatan kepada import. Takkan mereka tak tahu kerana kita pun tahu. Orang duduk kampung pun tahu. Pada biji beras tak ditulis beras import atau tempatan, hanya label di kampit. Beras yang harga RM23 boleh dijual RM43 sekampit takkan mereka tak tukar bungkusan,” katanya.

Tambahnya, tindakan memberikan kuota membekal anak benih padi kepada pengilang juga tidak sepatutnya berlaku kerana tiada jaminan kualiti.

Ujarnya, berikutan terlalu banyak subsidi disalurkan melalui pengilang, maka pihak terbabit mampu menentukan harga belian dan jualan padi sedangkan petani menanggung kerugian.

“Padi tidak ditanam di kilang, padi ditanam di sawah. Siapa yang ada sawah patut dapat kuota anak benih, tapi bagi pada kilang juga. Kilang itu hendak cari anak benih di mana? 

“Mereka cari di mana-mana yang ada, tidak ada siapa boleh jamin kualiti, tabur tiga kali tapi padi tak tumbuh. Tak cukup kerajaan bagi subsidi, berapa banyak subsidi diberi, tapi masuk kepada kartel juga,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya