KUALA SELANGOR: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi mahu kekal sebagai wakil rakyat yang menyokong kerajaan dan tidak menyertai mana-mana parti politik namun berhasrat untuk mempertahankan kerusinya dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Beliau berkata, kerusi tersebut akan dipertahankan namun tidak akan bertanding dalam pilihan raya atas tiket bebas.
“Insya-Allah saya akan cuba pertahankan, cuma tidak tahu lagi masuk parti mana nanti. Apa yang pasti adalah saya tidak akan bertanding atas tiket Bebas,” katanya ketika ditemui pada program Jamuan Muhibah Sambutan Tahun Baharu Cina, malam tadi.
Malah, bekas Ketua Parti Bersatu Bahagian Tanjong Karang itu menegaskan pendiriannya ketika ini masih kekal menyokong Perdana Menteri sejak lebih setahun lalu dan akan terus melakukannya.
“Saya masih lagi Ahli Parlimen bebas dan tidak menghala ke mana-mana parti politik termasuk komponen kerajaan. Keputusan untuk menyertai parti hanya akan dibuat ketika menghampiri PRU16 kelak,” jelasnya.
Jelas Dr. Zulkafperi, beliau akan terus membina hubungan baik dengan semua parti komponen kerajaan sedia ada.
“Selain UMNO, PKR (Parti Keadilan Rakyat), Amanah (Parti Amanah Negara), kita juga bekerjasama dengan DAP. Keputusan saya menyokong kepimpinan Perdana Menteri adalah langkah tepat bagi memastikan nasib rakyat Tanjong Karang terbela,” ujarnya.
Pada Jun tahun lalu, tujuh wakil rakyat Bersatu digugurkan keahlian serta merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bagi menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Selain Dr. Zulkafperi, enam Ahli Parlimen lain iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Seorang lagi wakil rakyat yang turut digugurkan keahlian adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. – UTUSAN