KANGAR: Prestasi cemerlang yang ditunjukkan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek mewajarkan beliau dikekalkan menerajui sayap parti itu menjelang pemilihan PKR, Mei ini.
Menteri Pendidikan itu telah berjaya mengalas amanah dengan cukup baik sepanjang tempoh lalu yang wajar diteruskan bagi menerajui wanita PKR pada sesi 2025-2028.
Ketua Wanita PKR Selangor, Rozana Zainal Abidin berkata, Fadhlina telah menunjukkan gaya kepemimpinan cukup berkarismatik serta banyak melakukan perubahan dan penambahbaikan dalam memberi kesegaran serta nafas baharu kepada wanita PKR.
Malah katanya, Fadhlina juga merupakan wanita pertama di dalam parti yang menjadi Menteri Pendidikan dan ia merupakan sesuatu yang cukup membanggakan.
“Banyak perubahan dan penambahbaikan dalam sistem pendidikan dilakukan secara tersusun sekali gus turut menjadi cerminan kepada organisasi kepemimpinan wanita PKR.
“Selain itu, Fadhlina juga berpengalaman luas sebagai aktivis masyarakat dan pengamal undang-undang yang pastinya banyak penambahbaikan yang telah berjaya dibuat dalam mengepalai wanita PKR.
“Pergerakan wanita juga disegarkan lagi dengan penampilan muka-muka baharu selain gabungan muka-muka lama sebagai pengimbang,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, sistem Asimilasi Struktur Asas Kepemimpinan (ASAK) yang diperkenalkan juga banyak membantu dalam mengorak langkah ke arah pendigitalan bagi menyahut aspirasi kerajaan Madani dalam mengapai matlamat pembangunan mampan.
“Sistem ASAK telah dibuat bagi mengurus tadbir wanita PKR serta cakna digital. Latihan wanita juga telah diperhebat dengan memperkukuhkan wanita cabang dan ranting serta menghantar wanita dalam semua siri pilihan raya,” katanya.
Katanya lagi, gaya kepemimpinan Fadhlina yang mencakupi semua kelompok wanita menjadi aspirasi besar buat negara serta kerajaan Madani diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Fadhlina mampu merapatkan hubungan pelbagai pihak sama ada lawan dan kawan yang tidak mengira latar belakang apa sekali pun tetap disantuni,” katanya.-UTUSAN