KUANTAN: Menjaga sensitiviti kaum bukan sahaja menjadi tanggungjawab orang Islam malah orang bukan Islam pun perlu berbuat demikian.
Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan (mewakili golongan profesional), Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari mengulas tentang tindakan individu bukan Islam yang dilihat cuba mencampuri urusan Islam.
Katanya, ingatan itu penting bagi memastikan keharmonian yang sudah lama wujud terus berkekalan dan semua kaum dapat menikmati keamanan dan kemakmuran negara.
Menurutnya, semua pihak termasuk yang mewakili mana-mana parti politik diminta tidak terus mengguris perasaan orang Islam dan membangkitkan kemarahan umat berkenaan.
“Jadi saya nasihat kepada orang bukan Islam khususnya jangan menyentuh bab agama Islam, berhati-hatilah, kita hidup dalam keadaan harmoni.
“Awak kena ingat sendiri perlembagaan kita, taat setia kepada raja-raja, agama Islam agama Persekutuan, jadi saya berpesan kepada bukan Islam terutama sekali parti politik non muslim ini hati-hati dalam ucapan mereka,” katanya yang mengulas tentang tindakan sesetengah individu bukan Islam yang dilihat cuba mencampuri urusan agama Islam di negara ini.
Ahmad Irshadi juga mengingatkan orang Islam agar tidak melakukan perkara-perkara yang boleh memberikan ruang kepada orang bukan Islam untuk menghina agama Islam walaupun hanya bertujuan gurauan dan lawak jenaka.
Katanya, perkara seperti itu harus dielakkan kerana akan memberikan kesan kepada masyarakat termasuk generasi muda selain boleh menjejaskan akidah individu itu sendiri.
“Kita sebagai orang Islam kena faham, perkara yang boleh keluarkan kita daripada Islam iaitu dengan mulut, lisan dengan tingkah laku.
“Mulut ini kita mempersendakan nama Allah SWT atau persenda nabi, kita boleh jatuh murtad, menggunakan perbuatan seperti kita tunduk kepada patung sembahan berhala orang kafir murtad, hati kita yakin selain daripada Allah itu lebih berkuasa, murtad,” ujarnya.-UTUSAN.