SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Ketua Pemuda Pas Teluk Intan, Nurhafizul Badrul Hisham yang mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap parti itu.
Timbalan Pengerusi Biro Mobilisasi Amanah Nasional, Rafizal Ali berkata, pihaknya amat terkesan dengan satu hantaran dimuat naik dalam HarakahDaily kelmarin yang menyatakan bahawa fitnah dibawa Amanah terhadap agama lebih bahaya dan menjadi alat tunggangan DAP yang membawa dasar perjuangan sekular.
“Dakwaan itu adalah fitnah dan perbuatan jahat yang menimbulkan persepsi buruk kepada Amanah tanpa sebarang fakta dan bukti.
“Tohmahan seumpama itu amat berbahaya kerana menyentuh sensitiviti agama dan kaum. Justeru, kita mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau berhubung isu itu,” katanya ketika ditemui hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Pengarah Biro Mobilisasi Amanah Selangor tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari.
Menurut Rafizal, parti menerusi biro itu akan membuat laporan polis di seluruh negara bermula bagi tindakan lanjut.
“Arahan kepada setiap negeri telah dikeluarkan dan Selangor menjadi negeri pertama berbuat demikian,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya menggesa polis mengambil tindakan lanjut di bawah Seksyen 323 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Selain itu, siasatan boleh dijalankan mengikut Seksyen 501 dan 298A Kanun Keseksaan. Laporan polis itu dibuat turut bertujuan memelihara keamanan dan keharmonian kaum di negara ini,” katanya. – UTUSAN