PETALING JAYA: Kerajaan disaran melaksanakan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana sistem tersebut terbukti lebih berkesan dalam meningkatkan pendapatan negara dan adil kepada rakyat.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, jika kerajaan enggan menggunakan nama GST, ia boleh diberikan nama lain asalkan dapat membantu menambah pendapatan negara dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya cadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan semula GST yang ternyata lebih berkesan untuk menambah pendapatan negara dan lebih adil. Sistem ini juga telah terbukti berkesan di seluruh dunia.
“Jika alergi dengan nama GST, kita bagi nama lain pun boleh, asalkan ia dapat membantu meningkatkan pendapatan negara dan membantu rakyat,” katanya.
Muhamad Akmal turut mempersoalkan jaminan kerajaan bahawa kenaikan tarif elektrik yang bakal dikenakan kepada kilang-kilang dan golongan berpendapatan tinggi tidak akan memberi kesan kepada harga barang di pasaran.
Beliau merujuk kenyataan Perdana Menteri bahawa 85 peratus rakyat tidak terkesan dengan kenaikan tersebut, namun berpendapat kesan rantaian atau ‘domino effect’ perlu diberi perhatian.
“Persoalan saya, apakah jaminan kerajaan kenaikan tarif elektrik kepada kilang-kilang ini tidak akan menyebabkan harga barang meningkat,” – UTUSAN