Srikandi Bersatu ingatkan Kor Ming henti cabar umat Islam

Srikandi Bersatu ingatkan Kor Ming henti cabar umat Islam

Kor Ming
NURUL SYAZWANI NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming diberi peringatan supaya berhenti mencabar kesabaran umat Islam terutama di negara ini berikutan isu penjualan sandwich ‘ham’ di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Ketua Penerangan Srikandi Parti Bersatu (Bersatu), Nurul Syazwani Noh berkata, tindakan Ahli Parlimen Teluk Intan daripada Parti DAP itu disifatkan mempertikai atau memandang mudah kedudukan Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya memberi peringatan tegas kepada YB Nga Kor Ming supaya berhenti mencabar kesabaran umat Islam. Islam adalah agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan ia bukan sesuatu yang boleh dipermainkan atau dipandang enteng.

“Hormatilah kedudukan Islam di negara ini dan hentikan campur tangan dalam urusannya, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kesucian dan kepercayaan umat Islam. Saya menyeru semua pihak untuk menghormati prinsip ‘agama kamu adalah agama kamu, dan agama kami adalah agama kami’,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, Kor Ming yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu digesa tidak sesekali memperkecilkan usaha umat rakyat mempertahankan kesucian agama Islam yang menjadi tunjang kepada identiti umat Islam di negara ini.

“Pada masa yang sama, saya menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penggunaan logo halal palsu bagi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap logo halal tidak terjejas,” tegasnya.

Terdahulu, Kor Ming dilapor mengeluarkan kenyataan menerusi hantara dalam laman media sosial, X menyentuh isu kontroversi berhubung sandwich ayam ham dan keju yang dijual di kampus UM selepas logo halal didakwa disalahgunakan pada bungkusannya.

Beliau dikatakan menyindir pihak tertentu dengan dakwaan cuba memainkan perkara itu dan memaklumkan istilah ‘ham’ hanya merujuk kepada daging yang diawet.

“Kita ada ham ayam belanda dan ham ayam, yang sesuai untuk dimakan. Begitu juga dengan root beer, yang dibuat daripada akar sassafras, tidak mengandungi alkohol dan baik untuk diminum. Menjadikan perkara itu sebagai isu hanya menunjukkan siapa sebenarnya yang bodoh,” dakwanya.

Bagaimanapun, Nurul Syzwani memberitahu, penggunaan logo halal palsu adalah satu penghinaan terhadap kesucian Islam serta pencabulan terhadap kepercayaan umatnya di Malaysia.

“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, sensitiviti berkaitan agama Islam sebagai agama rasmi negara seharusnya dihormati.

“Apa yang lebih mengecewakan, kenyataan oleh Kor Ming seolah-olah memperkecilkan usaha untuk mempertahankan kesucian logo halal ini dengan menggambarkan mereka yang membangkitkan isu ini sebagai ‘membuat fuss’.

“Saya ingin menegaskan isu halal bukan perkara remeh. Ia adalah asas kepada kepercayaan dan amalan umat Islam di Malaysia. Penggunaan logo halal palsu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencemarkan kepercayaan masyarakat Islam terhadap institusi yang bertanggungjawab menjaga standard halal di negara ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya