'Kerajaan PN Perlis banyak retorik' - Rozabil - Utusan Malaysia

‘Kerajaan PN Perlis banyak retorik’ – Rozabil

ROZABIL ABD. RAHMAN.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman melihat kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri terlalu retorik termasuk memperkenalkan slogan Perlisku Bestari Anjung Madinah kononnya agenda buat rakyat.

Katanya, banyak isu lain perlu diberikan keutamaan oleh kerajaan negeri berbanding perkara tersebut antaranya seperti masalah kutipan sampah, pendapatan rakyat, peluang pekerjaan anak muda dan beberapa lagi.

Beliau secara peribadi menggesa kerajaan negeri agar tidak terlampau banyak memperkudakan agama dan beri gula-gula pada rakyat kononnya negeri Islamik.

“Kerana kita faham sebagai negara Islamik terbaik macam zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, bukan hanya kebajikan sahaja baik, malah kegiatan ekonomi juga memberangsangkan,” katanya di sini, semalam.

Dalam Belanjawan Perlis 2025 baru-baru ini, kerajaan negeri memperkenalkan agenda Perlisku Bestari Anjung Madinah iaitu inisiatif progresif berasaskan model Madinah al-Munawwarah yang menekankan keadilan dan inklusiviti sosial.

Rozabil berkata, rakyat disaran agar tidak terpengaruh dengan perkara itu malah kerajaan negeri juga perlu telus dan tidak bermain dengan slogan retorik semata-mata.

“Rakyat jangan terbeli dengan kata-kata ini kerana kita tak mahu negeri ini masih berada pada takuk yang sama,” katanya.

Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, Perlis juga memerlukan satu perubahan besar kerana negeri ini dibimbangi akan terkebelakang sekiranya keadaan ekonominya kurang memberangsangkan.

Katanya, selain itu, rakyat negeri ini juga akan terkesan dengan sindrom malu menjadi diri sendiri (inferiority complex) disebabkan sifat ekonomi yang tidak baik.

“Kita kena bawa perubahan besar antaranya dengan membantu rakyat untuk keluar dari kemiskinan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN