SHAH ALAM: Keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan semakan kehakiman dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa menjadi bukti kelemahan pentadbiran kerajaan dalam menjaga martabat institusi diraja dan kedaulatan undang-undang.
Ketua Penerangan Srikandi Bersatu, Nurul Syazwani Noh berkata, beliau menyifatkan tindakan menyembunyikan atau melenyapkan titah adendum itu sebagai derhaka kepada Yang Dipertuan Agong selain pengkhianatan besar terhadap Perlembagaan Persekutuan.
“Isu ini adalah bukti nyata kelemahan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam menjaga martabat institusi diraja dan kedaulatan undang-undang. Kerajaan yang lemah dan tiada integriti ini telah mencemarkan nama baik negara di mata rakyat dan dunia.
“Itu bukan sekadar isu teknikal atau politik tetapi menyentuh asas maruah negara dan prinsip kedaulatan undang-undang yang dijunjung rakyat.
“Srikandi Bersatu Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan derhaka ini dan menuntut pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib mencabar perintah penahanan di rumah bagi baki hukuman penjara yang dihadapinya menerusi keputusan 2-1 oleh Hakim Datuk Azahari Kamali Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Faffril.
Manakala, Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim pada prosiding tersebut menentang penghakiman berkenaan.
Malah, Nurul Syazwani turut mendesak Anwar dan anggota Kabinet meletakkan jawatan sebagai tanda bertanggungjawab atas kelemahan itu serta menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dalang di sebalik pengkhianatan tersebut.
“Kami mendesak Perdana Menteri dan anggota kabinet untuk meletakkan jawatan segera sebagai tanda bertanggungjawab atas kelemahan ini.
“Srikandi Bersatu Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan derhaka ini dan menuntut pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi.
“Kami juga menyeru agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat dalang di sebalik pengkhianatan ini. Jangan ada seorang pun yang terlepas!” tegasnya. – UTUSAN