SHAH ALAM: Dakwaan gerakan membawa Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz untuk menyertai PKR wujud susulan terdapat perbincangan awal berhubung perkara tersebut.
Perkara itu disahkan Presidennya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan parti mengamalkan dasar terbuka kepada mana-mana pemimpin untuk menyertai PKR.
“Sekarang ada perbincangan awal, (Ada permohonan?) tidak, perbincangan dahulu. Jadi, kita sedang dalam proses perbincangan.
“Prinsipnya (dari) dahulu, Keadilan memang terbuka, ada pemimpin kita pernah jadi setiausaha agung Amanah, ada pemimpin DAP yang jadi calon kita, ada calon yang masuk DAP, jadi hubungan Keadilan selama ini kita membuka ruang, tetapi selalunya kita berunding dengan baik. Itu keadaannya.
“Jadi, macam Tengku Zafrul pun dalam keadaan yang sama, kita tidak pernah menafikan dan budayakan tidak pernah mengajak orang, tetapi kita sedia berbincang kerana parti ini terbuka, orang yang bekas UMNO pun ada dalam Keadilan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kongres Nasional Khas Keadilan 2024, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri didakwa akan berpindah parti dari UMNO kepada PKR selepas terdapat dakwaan penyusunan kemasukannya ke parti itu.
Bagaimanapun, beliau ketika ditemui dalam satu program di Sabak Bernam pagi tadi memberitahu akan memberi kenyataan dalam tempoh terdekat mengenai spekulasi meninggalkan parti itu dan menyertai PKR.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu, beliau belum membuat sebarang komen mengenai isu itu termasuk spekulasi menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan pihaknya mengutamakan rundingan antara kesemua parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk antara Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) bagi menjaga keharmoniannya.
“Prinsipnya kita ambil sikap terbuka, orang yang boleh memberi sumbangan kepada parti, tetapi dengan baik supaya hubungan kita dengan parti-parti termasuk UMNO dan rakan-rakan, baik..
“Selama ini, dari segi dasar kita, dalam hubungan dan pengalaman kita (bersama) PH, tidak menggalakkan tetapi kita tidak pernah menghalang, malah kita hormat keputusan mereka dengan hubungan baik antara parti,” jelasnya.
Sementara itu, Mingguan Malaysia dalam wawancaranya bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan beliau bersedia meninggalkan jawatan sekiranya mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Berdasarkan nasihat baginda sejak hari pertama mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, Tuanku menyebut supaya saya kekal menghabiskan tanggungjawab di negeri ini untuk pengal ini. Penggal hadapan tidak tahu lagi, tetapi titah Tuanku, ada yang lebih baik untuk saya selesaikan beberapa perkara yang saya rancang,” ujarnya.
Terdahulu, akhbar ini turut melaporkan PKR dikatakan mempunyai senarai pemimpin dan bekas pemimpin yang mahu menyertai parti itu sejak berlaku perubahan kerajaan menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. – UTUSAN