PETALING JAYA: Pindaan terhadap Perlembagaan PKR dalam Konvensyen Nasional Khas Keadilan 2024 disifatkan sebagai langkah strategik bagi meningkatkan penglibatan wanita di peringkat kepemimpinan tertinggi parti.
Ketua Wanitanya, Fadhlina sidek berkata, pindaan tersebut menunjukkan ketegasan usaha PKR bagi memperkukuh inklusiviti, merentas batasan jantina dan etnik selain menyemarakkan amalan demokrasi.
“Pindaan itu memastikan sistem pemilihan Perwakilan Biasa Cabang dan Perwakilan Tambahan lebih inklusif, dengan mengambil kira kuota gender dan etnik minoriti berdasarkan demografi kawasan parlimen.
“Inisiatif ini juga bertujuan mengarusperdanakan agenda gender dalam politik Malaysia, di samping mengekang amalan patriarki dan ideologi hegemoni maskuliniti yang sering mendominasi arena politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, perwakilan PKR dalam kongres tersebut meluluskan pindaan perlembagaan yang meliputi Fasal 17.2, 17.2A, dan 17.2B yang turut membolehkan lebih ramai anggota parti membuat pemilihan kepemimpinan tertinggi peringkat cabang secara fizikal dan dalam talian.
Utusan Malaysia melaporkan, Ketua Penerangan, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, pindaan tersebut akan memberi keadilan kepada setiap selain kuota mengikut etnik dan gender supaya semua anggota terlibat dalam proses pemilihan kepemimpinan parti.
Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan menyatakan, pindaan tersebut sebagai peluang besar bagi meningkatkan aktivisme politik wanita dan penglibatan mereka dalam masyarakat.
“Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), wanita yang mewakili lebih 50 peratus daripada pemilih berdaftar dilihat sebagai penentu penting kepada hala tuju politik negara.
“Bagi memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus representasi wanita sebagai pemimpin politik dan calon pilihan raya, Wanita KEADILAN telah melancarkan pelbagai program pembangunan potensi dan pengkaderan di semua peringkat,” ujarnya.
Tambahnya, dengan kelulusan usul pindaan perlembagaan ini, KEADILAN memperkukuhkan tekad untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berdaya saing, menyumbang kepada pembinaan Malaysia yang lebih inklusif dan progresif.
Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh memaklumkan pindaan membolehkan lebih ramai perwakilan akan mengundi bagi jawatan tertinggi parti serta 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) di kongres nasional. – UTUSAN