SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat syarikat-syarikat termasuk berkaitan kerajaan (GLC) yang menaja kos lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil.
Siasatan didakwa perlu dilakukan apabila perdana menteri sebelum ini mengakui sehingga kos perjalanan beliau ditaja sehingga 80 peratus.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Muhammad Hilman Idham berkata, kenyataan dibuat Anwar di dalam Dewan Rakyat semalam perlu dipandang serius yang didakwa tidak bertepatan dengan agenda reformasi dalam pentadbiran kerajaan.
“Pengakuan itu adalah bukti kematian ‘reformasi’ yang secara tidak langsung dibungkam oleh tatakelola ala Madani di Putrajaya,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Semalam Anwar memaklumkan kos lawatannya ke empat buah negara dari 9 hingga 19 November lalu ditaja sehingga 80 peratus oleh syarikat swasta termasuk GLC.
Beliau mendakwa, kaedah tersebut sebagai salah satu pendekatan lain di bawah pentadbirannya untuk memastikan perbelanjaan membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan secekap mungkin.
Malah, jelasnya, syarikat yang membantu membiayai kos perjalanannya adalah mereka yang mempunyai kepentingan perniagaan dan pelaburan di negara ini.
Dalam pada itu, Muhammad Hilman turut mempertikaikan keperluan dua anak lelaki dan perempuan Anwar turut serta dalam lawatan tersebut.
“Kenyataan dan pengakuan perdana menteri juga amat mencukupi untuk mencetuskan satu siasatan di bawah Seksyen 16 (A)(B), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang menyentuh tentang kesalahan menerima suapan.
“SPRM boleh membuat siasatan terhadap perdana menteri berhubung hal berkenaan walaupun agensi anti rasuah berkenaan tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana individu atau pihak berhubung hal berkenaan,” tegasnya. – UTUSAN