PH Sabah sedia tanding 73 kerusi tapi tertakluk proses rundingan

PH Sabah sedia tanding 73 kerusi tapi tertakluk proses rundingan

RAZEEF Rakimin (tengah) semasa sidang akhbar PRK di Kota Kinabalu hari ini,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah sedia untuk bertading 73 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah namun tertakluk kepada proses rundingan dengan rakan kerjasama lain.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Razeef Rakimin berkata, proses rundingan kerusi di peringkat PH Sabah hampir selesai dan kini  terserah kepada parti komponen dalam PH untuk berunding dengan parti-parti lain.

“Selepas muktamadkan berapa kerusi akan ditandingi oleh PKR, Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), siapa yang dapat kerusi itu akan berunding dengan parti lain,” katanya semasa sidang media PKR, di sini hari ini.

Razeef berkata, beliau belum dapat memaklumkan jumlah kerusi PKR akan bertanding kerana ada beberapa perkara lagi perlu dibincangkan malah beliau sendiri berada dalam jawatankuasa perundingan kerusi PH Sabah.

Menurutnya, agihan kerusi antara PH dan rakan kerjasama menjelang PRN harus dibuat secara adil tanpa ada mana-mana parti bersifat dominan.

Biarpun Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan hasrat mahu parti tempatan lebih dominan namun, apa yang penting adalah parti yang boleh menang perlu diberi lebih banyak kerusi.

“Ia terpulang kepada rundingan (kerusi), soal dominan atau tidak dominan itu tidak timbul. Sebagai contoh, agihan kerusi itu kalau PH tidak dominan dan hanya dapat sedikit kerusi tapi, PH menang lebih daripada parti tempatan yang ingin bersifat dominan.

“Jadi, kita berharap agihan sama rata. Kita tidak berharap banyak pun cuma biar realistik agar semua pihak dapat (bertanding) kerusi yang sama rata,” katanya.

Ditanya jika beliau akan bertanding pada PRN17, Razeef berkata, setakat ini beliau tidak berhasrat untuk bertanding namun, sekiranya parti memberi amanah kepadanya untuk bertanding, beliau sedia untuk ke depan. 

Jelas beliau, ada beberapa kerusi yang PKR sasarkan di kawasan Tuaran dan sudah ada calon yang lebih sesuai daripadanya yang boleh diketengahkan.

“Kita kena bersifat realistik, kalau kawasan kerusi yang kita dapat di Tuaran itu kawasan Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) maka, kita kena letak calon KDM. Kita perlu realistik sebab apa yang penting keutamaan diberi kepada parti dan bukannya individu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya