Pemilihan Bersatu: Lempar tuduhan, tak profesional - Nurul

Pemilihan Bersatu: Lempar tuduhan, tak profesional – Nurul

Pemilihan Bersatu
NURUL SYAZWANI NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Calon yang tidak bernasib baik dalam pemilihan peringkat sayap Parti Bersatu digesa bersikap profesional dengan tidak membuat sebarang tuduhan tidak berasas terhadap proses demokrasi parti yang berlangsung itu.

Malah, semua yang terlibat juga perlu memahami undang-undang serta tatacara pemilihan dalam parti apabila prosesnya melalui prosedur ketat, adil dan telus di bawah Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Ketua Bahagian Bersatu (Penaja) Tanjong Karang, Nurul Syazwani Noh berkata, tindakan menyebarkan fitnah dan tuduhan terhadap perjalanan proses pemilihan Ketua Srikandi Muda Bersatu adalah tidak berasas.

“Sebagai seorang peguam, amat mengejutkan untuk melihat dakwaan yang menyatakan wujudnya campur tangan dan penangguhan hasil undi sebagai alasan kekalahan. Undang-undang mengiktiraf hak JPP untuk memastikan setiap keputusan yang diumumkan mencerminkan integriti dan ketelusan dalam demokrasi parti.

“Setiap calon, termasuk bekas Ketua Srikandi Muda Bersatu, Nurul Fadzilah Kamaruddin, seharusnya memahami bahawa keputusan adalah muktamad dan berdasarkan kepada undang-undang serta peraturan parti yang dipersetujui,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan sayap Srikandi, Armada dan Srikandi Muda yang sudah dipilih dalam pemilihan bagi sesi 2024 – 2027.

Beliau meminta semua pihak supaya berlapang dada dengan keputusan diperolehi dan menggesa semua pihak merapatkan saf, memperkukuh perpaduan dan meneruskan perjuangan.

Dalam pemilihan tersebut menyaksikan Muhyiddin, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin masing-masing menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Ketua Srikandi.

Selain itu, JPP turut mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham dan Ezzati Azmi yang memenangi jawatan Ketua Armada dan Ketua Srikandi Muda.

Dalam ada itu Nurul yang juga ADUN Permatang turut menyelar pihak yang mendakwa terdapat ‘campur tangan’ oleh orang luar dalam proses pemilihan termasuk dakwaan dipengaruhi daripada individu berpengaruh selain ugutan dikatakan berlaku terhadap perwakilan Srikandi Muda, namun tidak berasas.

“Fitnah sedemikian bukan sahaja mencemarkan reputasi Bersatu, malah mengkhianati kepercayaan yang diletakkan rakyat terhadap proses demokrasi dalam parti ini.

“Pemilihan kali ini adalah bukti Bersatu mengutamakan keadilan dan merit dalam memilih pemimpin, bukan sekadar memenuhi kehendak peribadi individu tertentu,” tegasnya.

Tambah Nurul Syazwani lagi, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati , Hilman dan Ezzati apabila masing-masing menang dalam pemilihan Ketua Srikandi, Ketua Armada dan Ketua Srikandi Muda.

“Semoga barisan kepimpinan yang baru ini terus membawa perubahan dan memperkukuh perjuangan kita demi Malaysia yang lebih maju dan makmur,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya