KLANG: Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming menyumbang sebulan gajinya sebagai ahli parlimen sebanyak RM16,000 kepada Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) bagi membantu pembangunan dan pergerakan sayap parti itu.
Beliau ketika berucap dalam perasmian Konvensyen Kebangsaan DAPSY 2024 berkata, parti mungkin boleh miskin harta, tetapi jangan sesekali miskin minda dan yakin sayap komponen Pakatan Harapan (PH) itu mampu menjadi tonggak negara di masa hadapan.
“Selaku bekas ketua pemuda yang sentiasa sayang dan cintai DAPSY, saya dengan penuh tawaduk dan rendah hati ingin menyumbang sebulan gaji Ahli Parlimen kepada DAPSY.
“Parti yang kaya tidak semestinya akan berjaya. Tetapi parti yang miskin, jika kita ikhlas berkhidmat, komited untuk terus berjuang, DAPSY akan menjadi harapan baharu Malaysia,” katanya, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyumbangkan sebulan gajinya berikutan kejayaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meraih empat anugerah dalam Majlis Anugerah Pembangunan Negara 2024.
Dalam pada itu, beliau yang merupakan Ahli Parlimen Teluk Intan menasihatkan DAPSY supaya mendekati ahli di peringkat akar umbi serta generasi muda yang berada di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Pertama, saya lihat DAPSY perlu memberhebatkan sekolah demokrasi, pendidikan politik adalah amat penting sekali kerana bak kata pepatah Melayu, biar miskin harta tetapi jangan miskin minda.
“Kedua, sebagai pemimpin muda kena rajin turun padang. Itu amat penting sekali dan kita tegaskan sekiranya kita tidak menyelami perasaan rakyat, kita menjauhi diri daripada peringkat akar umbi, maka pengundi pada pilihan raya nanti tanpa tolak ansur akan mengajar kita.
“Oleh kerana itu, semua pemimpin DAPSY bukan sahaja wajar, tetapi wajib mendekati rakyat, sentiasa ingat hak dan kepentingan mereka adalah dekat di hati kita dan DAPSY mempunyai tanggungjawab untuk mendekati pemuda khususnya di kampus sama ada UiTM, UM, UKM, UPM semua adalah medan perjuangan DAPSY,” tegasnya. – UTUSAN