SHAH ALAM: Formula Kerajaan Perpaduan seperti yang diamalkan di peringkat Persekutuan ketika ini menjadi penanda aras bagi gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) itu, tidak lama lagi.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joesph Kurup berkata, perkara tersebut menjadi perhatian antara kedua-dua parti BN dan PH dalam satu pertemuan yang diadakan baru-baru ini.
“Baru-baru ini, BN Sabah mengadakan perjumpaan dengan PH Sabah dan dalam perjumpaan itu agak positif untuk kita bekerjasama sebab kita punya asas atau underline interest adalah untuk mengekalkan formula kerajaan perpaduan yang ada sekarang.
“Sebab, sudah terbukti bahawa pertama negara kita khususnya rakyat memerlukan kerajaan yang stabil. Saya rasa rakyat sudah muak dengan ketidakstabilan politik yang kita pernah laluinya pada penggal lalu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Projek Taman Kekal Pengeluaran (TKPM) Jabatan Pertanian 2024, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Pengerusi BN Sabah yang juga Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada program Gerak 17 UMNO Sabah mengumumkan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan di Kota Belud.
Sebelum itu, Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffery Nor Mohamed diumumkan bakal mewakili BN bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.
Pada 5 November lalu, pemimpin PH dan Barisan Nasional (BN) mengadakan perbincangan tidak rasmi untuk meneliti titik-titik pertemuan dan menghormati perbezaan pandangan dalam menentukan hala tuju politik Sabah yang memerlukan pendekatan berbeza dengan konteks Semenanjung.
Dalam pada itu, Joseph memaklumkan pihaknya belum menentukan sebarang sasaran atau penetapan bagi kerusi yang akan ditandingi PBRS sebagai parti komponen BN pada PRN Sabah Ke-17, sebaliknya menegaskan fokus ketika ini adalah memastikan kestabilan politik bagi negeri berkenaan.
“Masih dalam perbincangan (agihan dan sasaran kerusi PBRS)
Jadi, terbukti sekarang Kerajaan Perpaduan merupakan formula kestabilan yang terbaik dan kita ingin memastikan rakyat dapat menikmati kerajaan yang stabil untuk terus membangunkan dalam tahun-tahun akan datang,” jelasnya. – UTUSAN