KLANG: Pemimpin muda digesa menghindari budaya gangsterisme dan berlagak seperti wira di mata rakyat sehingga ia dilihat negatif dan menyebabkan generasi sebaya menjauhi dan memandang buruk terhadap politik.
Ketua Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) (2022-2024), Kelvin Yii Lee Wuen berkata, pemimpin DAPSY mesti berhati-hati dengan tindakan yang sedang diperhatikan oleh generasi muda terhadap tindakan kepemimpinan parti.
“Dalam landskap politik sekarang, kita boleh lihat pemimpin muda lain, yang tidak ragu-ragu mainkan sentimen sensitif, kita juga melihat pemimpin muda membawa budaya gangster, walaupun kelihatan seperti wira di mata masyarakat.
“Kita mesti sentiasa ingat di luar sana sedang melihat teladan kita, mereka muak dengan toksik politik. Orang berbudi kita berbahasa, walaupun orang tak berbudi tak semestinya kita membinasa,” katanya dalam ucapan dasar pada Kongres Kebangsaan DAPSY 2024, hari ini.
Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching menegaskan, kepemimpinan dan ahli DAPSY supaya memainkan peranan masing-masing untuk mengubah naratif tersebut serta menunjukkan politik boleh menjadi platform bagi membawa perubahan positif.
“Kita mesti memastikan bahawa DAP kekal sebagai platform untuk golongan muda, mesti menjangkau secara kreatif untuk mendekati orang muda yang mungkin berminat dalam politik.
“Untuk melakukan itu, kita mesti mencari inovatif dalam usaha, mendengar kebimbangan mereka, memahami aspirasi mereka. Jom manfaatkan media sosial, terlibat dalam aktiviti komuniti dan mencipta dialog untuk platform anak muda,” ujarnya. – UTUSAN