DAP Sabah diberi autonomi tentukan kerjasama dalam PRN

DAP Sabah diberi autonomi tentukan kerjasama dalam PRN

DAP Sabah
ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: DAP Sabah diberikan kelonggaran dan autonomi untuk berbincang dengan parti rakan seperti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) sebelum membuat sebarang keputusan berhubung rancangan kerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau diberi penerangan berkenaan perkembangan dan dinamik politik negeri di bawah bayu itu ketika lawatannya ke Labuan baru-baru ini.

Menurutnya, beliau menyerahkan kepada DAP Sabah untuk menentukan sebarang kerjasama memandangkan jawatankuasa di negeri itu lebih memahami keperluan dan senario politik di sana.

“DAP Sabah sedang bincang, kita beri kelonggaran dan juga autonomi kepada DAP Sabah untuk mereka berunding, bincang dahulu sebab keadaan di Sabah sudah tentu mereka lebih memahami.

“Saya menaruh kepercayaan kepada kepimpinan baharu kita yang juga menteri dalam Kabinet Sabah untuk menguruskan perkara itu dan sudah tentu sampai masanya kita kena buat keputusan.

“Tetapi, masa untuk buat keputusan belum sampai. Sampai masa kita buat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Selangor 2024, hari ini.

Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2024 hari ini dihadiri 1,653 perwakilan daripada 2,281 yang mendaftar.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan memberitahu PRN Sabah ke-17 (PRN17) dijangka diadakan pada bila-bila masa antara November ini hingga Oktober tahun depan ketika mengulas tempoh kerajaan pimpinannya sekarang yang akan berakhir pada Oktober tahun depan.

Terdahulu, Anthony Loke dalam ucapan perasmiannya menegaskan kebimbangan untuk menghadapi pilihan raya tidak akan timbul sekiranya harapan yang diberikan kepada rakyat dalam kempen pilihan raya sebelum ini dapat dibuktikan.

Menurutnya, kekuatan dan kestabilan politik serta kerajaan ketika ini wajar digunakan bagi memperkukuh perkembangan ekonomi yang akan memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat.

“Kita berada dalam kerajaan, bukan tiap-tiap hari sibuk untuk melawan demi jawatan dan kuasa, dalam politik kerja, tugas kita sebagai menteri, ahli parlimen, ADUN, exco, ahli majlis, ketua kampung, mesti menjaga kesejahteraan dan kebaikan untuk negara.

“Kalau setiap daripada kita berfikiran macam itu, negara akan maju, negeri akan maju, rakyat akan sejahtera. Kalau sampai pilihan raya, rakyat rasa mereka lebih baik, nampak hala tuju lebih jelas, jangan bimbang tentang pilihan raya,” jelasnya.

Katanya lagi, tugas wakil rakyat, exco dan menteri sekarang adalah bukan lagi meyakinkan untuk memberi harapan kepada rakyat, sebaliknya membuktikan harapan itu dapat dicapai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya