MELAKA: Kenyataan dikeluarkan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub yang mendakwa bahawa kerajaan negeri tidak serius menyelesaikan masalah banjir kilat dianggap sebagai tidak berasas.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, kenyataan itu jelas mempunyai agenda politik di sebalik kesengsaraan penduduk yang dilanda musibah berkenaan.
Menurutnya, sudah berkali-kali beliau menjawab dalam sesi Sidang DUN Melaka berhubung tindakan jangka panjang dan jangka pendek bagi menyelesaikan isu banjir kilat yang kerap berlaku.
“Mungkin apa yang ketua pembangkang cuba nyatakan kerajaan negeri seolah-olah tidak ambil peduli, tetapi dia perlu nyatakan dengan fakta sebab kita jawab dengan fakta dalam Sidang DUN.
“Sebagai contoh banjir yang berlaku di Pekan Masjid Tanah baru-baru ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk baik pulih jambatan dan jalan yang rosak akibat bencana alam itu.
“Jadi, saya harap Mohd. Yadzil jangan bermain politik di sebalik kesengsaraan rakyat. Saya ingin bertanya banjir yang berlaku di Bemban dan saya tidak pernah dihubungi ketua pembangkang sebalikya usaha membantu dilakukan oleh kita,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jelajah Peduli Ummah di Tanjung Minyak di sini, semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, fungsi agensi kerajaan negeri didakwa semakin lemah, selain tiada perancangan pengurusan bencana berkesan dalam menyelesaikan isu banjir kilat yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini.
Mohd. Yadzil turut mempersoalkan sikap kerajaan negeri yang dikatakan tidak serius menangani isu berkenaan.
Tambah Rais, setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM10 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan kerja-kerja hakisan dan membersihkan longkang.
Ujarnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga memperuntukkan jutaan ringgit untuk menyelesaikan masalah banjir kilat yang kerap berlaku dalam taman perumahan serta kampung. – UTUSAN