MELAKA: Fungsi agensi kerajaan negeri didakwa semakin lemah, selain tiada perancangan pengurusan bencana berkesan dalam menyelesaikan isu banjir kilat yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub turut mempersoalkan sikap kerajaan negeri yang dikatakan tidak serius menangani isu berkenaan.
Beliau berkata, pengerusi jawatankuasa berkaitan bencana dilihat agak ‘sepi’ daripada segi pelaksanaan segera atau setidaknya merangka pelan mengurangkan impak kepada mangsa terlibat.
“Tahun ini sahaja telah beberapa kali berlaku kejadian banjir yang menyebabkan mangsa mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda.
“Kenapa terlihat fungsi agensi kerajaan semakin melemah dan apakah peruntukan yang cukup telah disalurkan kepada mereka bagi menyelesaikan masalah yang tidak berkesudahan ini?
“Negara kini memasuki musim tengkujuh tetapi kerajaan negeri seolah-olah tiada perancangan khusus membabitkan pengurusan bencana yang berkesan. Kerajaan negeri perlu memikirkan perancangan lebih efektif bukannya hanya sekadar beri sumbangan one-off (sekali bayar) RM200 atau RM300 sahaja,” katanya.
Hujan lebat bermula petang semalam sehingga awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Melaka antaranya Pekan Jasin dilanda bah.
Dakwa Mohd. Yadzil, kerajaan negeri juga lalai dan leka dengan hiburan, megah mencantikkan jejantas dan merasmikan pembukaan jalan-jalan baharu.
Tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, mustahil tiada peruntukan untuk memperbaiki sistem perparitan sedia ada, memandangkan kerajaan negeri sentiasa membuat pengumuman pelaburan bernilai jutaan ringgit masuk ke Melaka.
“Kerajaan negeri sewajarnya perlu lebih serius menangani isu ini. Rakyat sedang menilai dan semakin bosan dengan ketidak berkesanan langkah pengurusan bencana oleh kerajaan negeri.
“Tidak salah mengejar pembangunan tetapi perlu seiring dengan keadaan yang ada. Setiap pembangunan perlu mengambil kira keadaan infrastruktur lama dan baharu agar dapat menampung perubahan persekitaran akibat pembangunan yang dirancang,” ujarnya. – UTUSAN