MELAKA: Kerajaan negeri dan seluruh rakyat Melaka berbesar hati atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan untuk projek pembinaan pusingan-U bertingkat dan direct U-Turn dari Persimpangan Pulau Gadong hingga Persimpangan Taman Cheng Perdana.
Dua lagi projek yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 untuk negeri ini, hari ini adalah pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral dan pembinaan Balai Polis Tanjung Minyak yang baharu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri juga berterima kasih atas pengumuman projek secara pendekatan kerjasama awam swasta (PPP) iaitu Pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) bagi jajaran Banting ke Gelang Patah.
“Jajaran ini akan memberi manfaat kepada Melaka kerana menyediakan alternatif untuk pengguna jalan raya ke Melaka, selain Lebuhraya Utara Selatan.
“Semoga peruntukan yang disediakan ini mampu memperkasa pertumbuhan ekonomi Melaka, sekali gus membantu merencana pembangunan yang terancang serta membina masa depan rakyat Melaka yang sejahtera.
“Kerajaan negeri juga komited untuk merangka pelbagai inisiatif seperti bantuan-bantuan kebajikan, menstruktur pembangunan, merencana program-program inklusif dan sebagainya berdasarkan keperluan sasaran setiap golongan rakyat yang akan dibentangkan pada 9 sehingga 12 Disember ini, katanya. – UTUSAN